1) Tidak Jelas Tujuan
Apabila menerima tugasan yang tidak jelas tujuan, anda tidak akan dapat membereskannya kerana anda tidak tahu apakah hasil yang sepatutnya diperolehi. Kalaupun anda cuba lakukan tugasan itu, kesudahannya anda akan mundar-mandir kerana tidak pasti tugasan itu telah sempurna atau tidak.
Kenalpasti apa tujuan sesuatu tugasan yang telah diterima. Jika perlu, tanya pihak yang memberikan anda tugasan tersebut tentang apa sebenarnya hasil yang dikehendaki.
2) Tidak Tahu Bagaimana Menyelesaikan Tugasan
Kebanyakan tugasan boleh diselesaikan jika anda tahu langkah demi langkah untuk menyempurnakannya.
Sekiranya tidak tahu, bertanya atau belajar dari orang lain yang ada kemahiran tentangnya. Tiada manusia yang sempurna yang tahu semua perkara. Tetapi manusia itu mampu belajar dan berlatih untuk menguasai sesuatu kemahiran yang baru.
3) Tidak Merancang Masa
Secara umumnya, tugasan yang diberikan kepada anda akan mengambil masa untuk disempurnakan.
Jika anda tidak merancang masa, anda mungkin akan terlepas pandang kerumitan yang ada di dalam tugasan tersebut dan akhirnya terlewat menyempurnakannya.
4) Sikap Bertangguh
Menangguhkan masa untuk menyiapkan tugasan adalah sikap yang tidak betul. Apa yang berlaku adalah anda mendahulukan perkara lain (meskipun perkara itu kurang penting seperti menonton video atau berbual kosong) dan menunggu saat akhir untuk menyiapkan tugasan.
Akibatnya, tugasan mungkin tidak sempurna atau langsung tidak siap bila tiba waktunya.
5) Tidak Menguruskan Masalah Yang Mendatang Dengan Baik
Sebagai manusia, kita akan diuji dengan pelbagai masalah yang akhirnya mengganggu tumpuan kita. Masalah ini tidak boleh dijadikan alasan kepada kegagalan menyiapkan tugasan. Ia perlu diuruskan.
Berbincanglah dengan rakan, ahli keluarga atau pakar rujuk tentang bagaimana menghadapi masalah itu. Mungkin mereka mempunyai pengetahuan atau pengalaman yang boleh membantu menguruskan masalah ini.
Jangan simpan masalah itu seorang diri. Ia mungkin mengakibatkan tekanan atau kemurungan lalu akhirnya menjejaskan kesihatan anda.
No comments: