Ada manusia bijak berkata-kata. Ungkapannya menarik dan mempesonakan. Tapi hakikatnya, ia mengandungi muslihat untuk memperdaya kita. Akibatnya kita terganggu emosi dan tersilap membuat pertimbangan.
Mereka yang mempunyai tabiat ini adalah manipulator atau pemutarbelit.
Ada 5 tanda tipikal yang boleh dijadikan panduan bagi anda menilai seseorang terutamanya untuk melindungi diri sendiri dari terpedaya dengan putarbelitnya.
1) Perbualan berat sebelah.
Apabila mereka berbual, mereka lebih cenderung memperkatakan tentang kehebatan dirinya. Apa sahaja yang dilakukannya hebat belaka manakala apa yang dilakukan oleh orang lain penuh cacat cela.
Apabila mereka menyedari kita sudah bosan dengan perbualan ini, mereka akan berpura-pura mengambil tahu tentang hal kita. Mereka kemudiannya mencari peluang menyelitkan kembali kehebatan mereka di celah perbualan hal kita tadi.
2) Berulang kali menyatakan hal yang sama.
Mereka akan berulang kali menyebut hal yang sama supaya kita menerima pendapatnya. Mereka tidak akan jemu mengulang perkara yang sama seolah-olah inilah satu-satunya isu yang paling besar di dalam dunia ini. Jika kita tidak mempunyai ketahanan yang tinggi, kita akhirnya akan mengalah dan mengiyakan pendapat mereka, walaupun kita tahu pendapat mereka tidak tepat sepenuhnya.
3) Bermain dengan kata-kata pujukan.
Mereka juga mempunyai pelbagai cara untuk memujuk anda dengan licik
Adakalanya mereka menggunakan tokoh-tokoh terkenal dan dihormati untuk meyakinkan anda dengan isu yang dibawanya.
Adakalanya pula mereka berlakon sebagai mangsa keadaan supaya anda merasa simpati terhadap mereka dan menyokong pendapatnya.
4) Gerak-geri badan yang tidak seperti kebiasaan.
Manusia yang bercakap dengan ikhlas akan berinteraksi dengan anda sepenuh hatinya. Gerak-geri badannya selari dengan apa yang dituturkannya.
Menurut pakar psikologi, manusia yang bercakap dengan tidak sepenuh hati mungkin mampu mengawal lidahnya untuk memperdaya orang lain, tetapi belum tentu dia mampu mengawal mata, tangan dan anggota yang lain untuk turut sama "berlakon". Anda boleh kesan gerak-geri mata yang memandang ke arah lain seolah-olah tidak seiring dengan pertuturan mulutnya, gerak-geri tangan yang sekali-sekala menyentuh hidang seolah-olah cuba melindungi sesuatu atau gerak-geri umum badan seolah-olah tidak selesa dengan apa yang dituturkan.
5) Mewujudkan rasa bersalah pada pendengarnya.
Manusia pemutarbelit bijak memperdaya mangsa dengan meletakkannya di dalam perangkap "rasa bersalah". Mangsa akan dipengaruhi supaya berfikir bahawa dia telah tersilap melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Kesilapan ini akan sengaja diperbesarkan sehingga mangsa merasa tertekan dan akhirnya menuruti langkah yang disyorkan oleh si pemutarbelit tadi.
Semoga panduan ini membantu melindungi anda dari tipudaya pemutarbelit.
RUJUKAN:
https://www.powerofpositivity.com/signs-nice-person-negative-intentions/
No comments: