.
Flickr adalah sejenis rangkaian media sosial yang berteraskan perkongsian foto. Projek Flickr lahir secara kebetulan apabila dua orang pembangunnya, pasangan suami-isteri Stewart Butterfield dan Caterina Fake mahu mempromosikan perisian permainan mereka iaitu Game Neverending. Mereka kemudiannya menyedari bahawa potensi lebih besar ada pada Flickr berbanding Game Neverending. Bermula pada tahun 2003, projek ini mula berkembang dan menarik perhatian pengguna Internet. Pada ketika itu, ramai jurufoto profesional dan amatur menggunakan Flickr sebagai salah satu saluran promosi hasil kerja mereka. Akhirnya Flickr dibeli oleh Yahoo pada tahun 2005.
Pembelian ini sepatutnya menjadi pemangkin kepada dominasi Flickr di permulaan era Web 2.0 (Era di mana pengguna web mula berkongsi data dan pendapat di dalam rangkaian media sosial). Namun, ia tidak serancak yang dijangkakan.
Sebaik selesai proses pembelian, pasukan Flickr telah diarahkan untuk mengubahsuai sistem mereka agar ia disepadukan dengan sistem Yahoo yang bermakna setiap akaun Flickr mesti ditukarkan kepada akaun Yahoo. Hal ini memberi kelebihan kepada Yahoo tetapi hakikatnya ia dikritik oleh pengguna sedia ada. Isu ini berlanjutan hingga ke tahun 2007.
Pada masa yang sama Facebook turut menggalakkan perkongsian foto melalui rangkaiannya. Pengguna Facebook pula boleh mengaksesnya sambil mengekalkan akaun email masing-masing samada Gmail, Yahoo atau lain-lain. Isu kesepaduan sistem Yahoo telah membantutkan perkembangan sistem Flickr.
Pasukan Flickr juga tidak mempunyai kebebasan untuk mencipta inovasi sendiri. Mereka perlu mengikut arah yang ditunjukkan oleh Pengurusan Yahoo yang pada dasarnya mahukan semua sistem bermula dari portal Yahoo. Ketika dunia memasuki era smart phone dan mobile platform (seperti iOS dan Android), rangkaian media sosial popular seperti Facebook turut berlumba memasuki apps store namun hal sebaliknya berlaku pada Flickr.
Smart phone sebenarnya menyimpan potensi hebat untuk aplikasi perkongsian foto kerana ia sudah dilengkapi dengan peranti kamera. Potensi ini disingkap terlebih dahulu oleh Instagram pada tahun 2010. Malang lagi sekali, Flickr terlewat merealisasikan potensi ini.
Sebenarnya pasukan Flickr sedar tentang inovasi untuk keselesaan pengguna. Mereka tahu Flickr hidup kerana sokongan komuniti dan keperluan komuniti perlu diutamakan. Namun mereka terpaksa mengikut telunjuk Yahoo yang menjadi tuannya. Yahoo terutamanya, Jerry Yang (pengasasnya) dan kumpulan Corporate Development (CorpDev) dikritik oleh gizmodo.com kerana mengutamakan keuntungan berbanding komuniti pengguna.
Akibat perbezaan nilai antara pengasas dan pemegang sahamnya, produk yang pada awalnya seumpama bintang kecil itu menjadi malap dan pudar di dalam peredaran zaman.
Moral: Jangan hampakan pengguna. Sekali mereka berlalu pergi, sukar untuk mereka kembali semula.
.
Rujukan:
- http://gizmodo.com/5910223/how-yahoo-killed-flickr-and-lost-the-internet
- http://geofflivingston.com/2016/05/17/flickr-enters-downward-spiral/
- https://en.wikipedia.org/wiki/Flickr#cite_note-10
Cara Untuk Gagal Bisnes: Hampakan Pelanggan
Reviewed by admin
on
August 04, 2016
Rating:
No comments: