.
SAUDARA PENGARANG,
SETELAH diteliti, kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang didedahkan FORUM Utusan Malaysia pada 15 Januari lalu, didapati mesej berkenaan adalah promosi perjudian yang dijalankan melalui SMS.
Sebagaimana semua sedia maklum, SMS sebagai medium perantaraan untuk berkomunikasi boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk yang salah di sisi undang-undang.
Oleh itu, umum adalah dinasihatkan untuk meneliti terlebih dahulu kesahihan dan mempertimbangkan kewajaran kandungan tersebut sebelum bertindak balas.
Orang ramai dinasihatkan memadam terus SMS seumpamanya, tidak memberikan sebarang respons kepada penghantar SMS tersebut atau mendedahkan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang diragui kesahihannya.
Untuk makluman semua, aktiviti perjudian adalah satu kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang terletak di bawah bidang kuasa Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru, laporan polis boleh juga dibuat sekiranya SMS berkenaan disyaki menjurus kepada aktiviti perjudian. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak polis sekiranya diperlukan bantuan di dalam penyiasatan mereka berhubung perkara ini.
Adalah dimaklumkan, pihak SKMM turut mengajukan aduan ini kepada pembekal perkhidmatan selular bagi nombor talian penghantar terbabit untuk semakan dan tindakan lanjut ke atas nombor talian yang menghantar SMS tersebut.
Pihak SKMM akan terus memantau dan bekerjasama dengan pembekal-pembekal perkhidmatan selular dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai aktiviti perjudian yang boleh dilakukan melalui perkhidmatan ini.
Orang ramai yang menerima SMS sedemikian juga dinasihatkan supaya menyertakan nombor telefon penerima SMS tersebut dalam aduan kepada SKMM di alamat aduan.skmm.gov.my bagi memudahkan siasatan dijalankan.
BIRO ADUAN
PENGGUNA SKMM
Cyberjaya
.
Lapor Mesej Judi SMS Kepada SKMM
Reviewed by admin
on
January 19, 2016
Rating:
No comments: